16/02/2012
Balik kerja malam terus ke Medan Suri. Dah umpama rutin kerja malam. Balik je, mesti singgah makan nasi lemak. Bolehlah. Sedap tapi mahal. Hari ni kekurangan ahli. Muka tetap seperti Mie dan Mat tak dapat menceburkan diri. Mie dah balik Alor Setar semalam. Mat pula kena jadi tour guide, tunjuk jalan ke rumah orang. Aku cadang nak gerak terus lepas makan, memandangkan sweater tertinggal. Aku terpaksa batalkan niat aku. Kembali ke rumah dan lepak tunggu sampai pukul 9.
Chip hantar aku ke stesen bas, memandangkan dia, Farid dan Angah nak bermain badminton di Tapak Pesta. Nasib aku agak baik, aku terus dapat tiket bas. Aktiviti tidur di mulakan sebaik aku duduk di tempat aku. Terjaga aku bila bas berhenti di kawasan rehat. Aku tak pasti di mana aku berada. Lepas ke tandas dan menghabiskan rokok sebatang, aku kembali tidur. Terjaga kembali bila bas memasuki Stesen KL Sentral. Aku bersyukur. Aku tak perlu ke sana sini lagi. walaupun aku tak nak tergesa-gesa, jalan aku di permudahkan. Aku terus beli tiket ke Nilai. Menunggu agak membosankan. Terbayang keretapi laju di Jepun yang agak tepat sampai mengikut masa. Dari Nilai aku terus ke KLIA menunggu sepupu mengambil aku. Perjalanan ke KLIA cukup membuatkan memori aku berpatah balik ke tahun 2009. Aku tergelak kecil bila aku tersedar. Memori yang takkan aku lupakan sama sekali. Di KLIA aku berpusing sana dan sini sementara sepupu aku sampai. Aku rasa dunia aku bukan di sini. Andai di stesen bas, boleh aku katakan, aku boleh ke mana sahaja menaiki bas, bergantung pada kerajinan dan kemalasan aku sahaja. Di lapangan terbang, gayanya seperti aku tidak bisa ke sana dan sini walaupun pada tika itu aku sangat rajin. Sedikit cemburu aku rasakan. Aku matikan cemburu aku di situ bila sepupu aku sampai. Tiba di rumah beliau, Mak Lang agak terkejut. Anak saudaranya yang seorang ni memang begini. Datang tak pernah nak bagi tahu. Selepas bertanya khabar dan bergosip, aku tidur menghilangkan segala lelah. Terjaga bila adik sepupu aku memanggil makan. Pak Lang yang baru balik kerja agak terkejut bila aku ada di rumahnya. Selepas makan, kami bersembang panjang sambil hisap rokok berbatang-batang. Banyak perkara kami bualkan dan aku rasa aku paling senang berbual dengan beliau berbanding dengan adik-adik emak aku yang lain. Aku kembali sambung tidur bila Pak Lang mengundurkan diri tuk beradu. Kerja pagi katanya.
17/02/2012
Bangun pagi terasa nyaman. Mungkin suasana kampung. Lepas mandi, Mak Lang menjamukan aku cucur untuk hidangan sarapan. Aku berulang kali meminta maaf sebab tidak dapat lepak lama di rumah beliau. Datangku bersebab bukan tiada sebab. Aku kembali ke IKTBN Sepang semula. Tujuan utama aku ke selatan. Datang mengambil sijil. Aku terjumpa muka yang aku kenali dahulu. Aku kirakan sepatutnya mereka dah tamat belajar. Mungkin mereka menyambung lagi. Selepas mengambil sijil aku ke Nilai. Dan terus ke Serdang. Berjumpa Din Pisang. Aku terkejut dengan penampilan beliau. Aku tidak percaya ini, itu yang aku katakan pada Din. Din, kawan yang dah lama sangat aku tak melepak dan aku sangat serik melepak dengan dia bila dia betul-betul kenalkan aku erti lepak sebenar. Tak terdaya aku masa tu untuk terus melepak. Sekarang dia dah pun berkahwin dan punya 2 orang anak. Aku hanya sempat berjumpa anak sulungnya. Agak segan aku nak masuk rumah orang dah berkahwin. Bininya pun aku tak berapa kenal. Din bawa aku ke Jusco Cheras Selatan. Melepak di sana sementara menunggu Amir habis kerja. Banyak benda yang kami bualkan. Dari zaman nakal sampai ke sekarang. Benda-benda yang aku tak ingat pun aku teringat kembali. Aku gembira. Sangat-sangat gembira bila bersama orang-orang yang rapat dengan aku. Walaupun agak sukar berjumpa mereka, bila berjumpa, kepuasan itu ada. Bila Amir sampai, Amir seperti aku. Terkejut dengan penampilan Din. Aku tergelak. Siapa sangka, itu kerja tuhan. Aku dan Amir ke Downtown Mines bila bini Din dah habis kerjanya dan mereka pulang ke rumah. Downtown Mines, gelap gelita. Apa pun tak nampak dan Amir mencadangkan ke Uptown Kota Damansara. Aku macam biasa, mengikut saja. Sampai di sana, badan aku tak berapa sedap. Tak ada nafsu tengok barang. Cuma Amir yang bernafsu. Mencari selipar selepas seliparnya hilang di curi di masjid. Aku tidur lewat. Dalam pukul 5 baru tidur selepas membuat sedikit penilaian atas permintaan Amir. Oh ya, aku juga banyak membuang masa melayan muka buku dan komik Jepun.
18/02/2012
Bangun pukul 12 lebih. Rasa macam dah lama tak bangun lewat, dan memandangkan hari mendung, rasa macam pagi lagi. Amir mengajak makan nasi kukus terbaik di situ. Memang terbaik la. Aku pasti rindukan ia. Lepas makan, selepas tiada hala tuju, kami kembali ke rumah dan terus terbongkang sampai ke petang. Bangun petang, agak kelaparan sebenarnya. Amir, aku dan kawan serumah Amir, Ujang ke The Curve. Kami ke booth Fixi. Aku tertarik akan buku Sperma Cinta, bukan sebab tajuknya yang kelucahan, ceritannya yang aku baca sedikit telah membuatkan aku tersenyum kambing seorang diri. Kami ke IKEA, dan Amir tunjukkan cafe yang tak punya kerusi. Mesti tempat ni yang Iera pernah ceritakan pada aku dulu lalu aku memanaskan hati beliau dengan meng'sms' beliau dan beliau panas dengan aku. Kami ke bahagian makanan western. Ya Allah! Panjangnya barisan. Aku rasa Sarip atau Beratur punya barisan pun tak macam ni. Amir sempat berkata, "Masih ramai yang cantik kat dunia ni". Aku mengiyakan dan berkata pula, "Kita hanya mampu menjadi pemerhati mereka yang cantik dan sukar tuk milikinya". Selepas makan, Amir menjadi tour guide aku di dalam IKEA. Menarik, hanya itu mampu katakan bila melihat dekorasi bilik tidur, ruang tamu, dan dapur. Untuk milikinya, aku terbayangkan rumah yang aku duduki sekarang. Hanya tinggal angan-angan. Selepas penat berpusing, Amir menghantar aku ke Plaza Rakyat. Dan aku masih bernasib baik, tiket bas di capai dan terus ke platform menghisap rokok. Perjalanan hampir 5 jam. Mata sedikit tidak mengantuk. Aku memerhatikan ke luar. Gelap dan hujan. Bas berhenti di R & R Gunung Semanggol. Aku turun dan menghisap rokok sebatang dan cuba cari mood tuk tidur. Masih tidak boleh. Alhamdulillah. Hujan di Penang sudah berhenti. Dan sekarang aku sudah selamat tiba di rumah. Kengantukan datang. Aku perlu berkerja pagi ni.
ARGHHHHHHHHHH!!!

Tiada ulasan:
Catat Ulasan